Selangorkini
SELANGOR

Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa terus dibangunkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Pembangunan semula di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa berada dalam perancang Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) khususnya bagi meningkatkan nilai hartanah serta meningkatkan peluang pelaburan, kata Dato’ Teng Chang Kim.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) itu berkata, MDHS membekukan tanah bagi mengawal pembangunan di sekitar Serendah dan Sungai Buaya di dalam Perancangan Tempatan Hulu Selangor 2020.

Katanya, ia bagi memberikan tumpuan pembangunan di bandar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

“Tesco Distribution telah membuka gudang terbesar untuk pembukusan semula seluas 50 ekar di Bukit Beruntung dan diluluskan MDHS pada Mei 2008.

“Bagi menarik penduduk mendiami Bukit Beruntung serta menggalakkan aktiviti perniagaan, MDHS menjemput pihak Tesco untuk membuka ‘Tesco Store’ di Bukit Sentosa dan telah dibuka pada 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mulut yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Omar berhubung usaha menarik pelabur ke Bukit Beruntung atau Serendah.

Menurutnya, beberapa agensi Kerajaan seperti polis turut menyumbang kepada pembangunan di kawasan itu dengan ambil alih Kolej Aman Bukit Sentosa untuk dijadikan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa.

Di samping itu, MDHS turut meluluskan pembinaan dua sekolah rendah dan masing-masing satu sekolah menengah, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) serta sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sejak 2006 sehingga kini di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) Kementerian Pelajaran.

Bagi sektor industri, Chang Kim berkata, sebanyak 90 peratus lot industri di Jalan Jasmin, Bukit Beruntung telah dibina kilang-kilang termasuk pemain industri besar automotif seperti Proton, Perodua dan Tan Chong Motors (Nissan).

Dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan Serendah termasuk Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa sebagai kluster aeroangkasa serta automotif.


Pengarang :