EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Bursa Malaysia dibuka sedikit tinggi hari ini disokong oleh belian sederhana di kaunter-kaunter tempatan.

Pada jam 9.16 pagi, indeks petunjuk asas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.80 mata kepada 1,686.90 berbanding 1,686.82 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks dibuka 4.49 mata lebih rendah kepada 1,682.33.

Di pasaran secara amnya, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 180 berbanding 155, manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,316 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 308.56 juta saham bernilai RM197.78 juta.

Seorang peniaga berkata beberapa saham Asia termasuk bursa tempatan mencatatkan peningkatan selari dengan indeks Komposit Shanghai, China.

“Bagaimanapun, saya boleh katakan secara menyeluruh pasaran masih berhati-hati dengan pelabur memantau mesyuarat Kongres Rakyat Kebangsaan selama 10 hari yang bermula Selasa (5 Mac).

“Mesyuarat ini, menghimpunkan hampir 3,000 perwakilan, dijangka membincangkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara dan juga undang-undang baharu bagi pelaburan asing. Apa juga yang dibincangkan dan dimuktamadakan pada mesyuarat itu mungkin akan menjejaskan pasaran global,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.56, Petronas Chemicals menokok enam sen kepada RM9.36, Public Bank dan CIMB masing-masing susut dua sen kepada RM24.50 dan RM5.50.

Bagi saham aktif, Prestariang meningkat enam sen kepada 50 sen, My EG naik tiga sen kepada RM1.22, Jake Resources menokok setengah sen kepada 70.5 sen manakala Dynaciate turun setengah sen kepada 9.5 sen.

Indeks FBM Emas jatuh 1.43 mata kepada 11,769.93, FBMT 100 turun 0.07 mata kepada 1,625.04 dan FBM 70 berkurangan 2.6 mata kepada 14,147.54.

Indeks FBM Ace melonjak 4.2 mata kepada 4,725.09 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 4.03 mata kepada 11,767.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 2.84 mata kepada 17,554.52, Indeks Perladangan turun 14.23 mata kepada 7,302.78, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 0.76 mata lebih tinggi kepada 170.37. – BERNAMA


Pengarang :