EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, menjejaki kekurangan momentum pada minggu lepas ketika persekitaran luaran yang lemah.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 15.64 mata kepada 1,651.02 berbanding 1,666.66 pada penutupan Jumaat.

Indeks dibuka 14.52 mata lebih rendah pada 1,652.14.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 316 kepada 43, manakala 145 kaunter lagi tidak berubah, 1,406 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 176.36 juta saham bernilai RM75.12 juta.

Dalam nota hari ini, Public Investment Bank Bhd berkata, di Wall Street, Purata Perindustrian Dow Jones turun 460 mata kepada 1.8 peratus untuk ditutup pada 25,502.32 Jumaat lepas, manakala S&P 500 turun 1.9 peratus dan Indeks Komposit Nasdaq berkurangan 2.5 peratus.

“Pasaran Eropah ditutup dengan kejatuhan mendadak pada Jumaat, dengan saham di Perancis menerajuinya di rantau ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun lima sen kepada RM9.25, Public Bank jatuh 10 sen kepada RM23.76, Tenaga dan Petronas Chemicals masing-masing berkurangan lapan sen kepada RM12.88 dan RM8.95, manakala CIMB susut lima sen kepada RM5.16.

Antara saham aktif, PUC Bhd, Hubline, dan Sino Hua-An masing-masing susut setengah sen kepada sembilan sen, 5.5 sen dan 25 sen.

Sementara itu, Sapura Energy dan Talam Transform masing-masing tidak berubah pada 34.5 sen dan empat sen.

Indeks FBM Emas berkurangan 112.32 mata kepada 11,570.85, Indeks FBMT 100 susut 107.14 mata kepada 11,430.05 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 117.75 mata kepada 11,637.4.

Indeks FBM 70 jatuh 127.85 mata kepada 14,124.7 dan Indeks FBM Ace rendah 26.99 mata kepada 4,787.8.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan jatuh 109.58 mata kepada 17,065.19, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan rendah 1.27 mata kepada 167.74 dan Indeks Perladangan merosot 25.52 mata kepada 7,167.33.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :