EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dijangka terkesan pemangkin baharu minggu depan

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Prestasi rendah ekuiti Amerika Syarikat (AS) selepas berakhirnya sesi dagangan minggu ini, penurunan pendaras minyak mentah Brent serta jangkaan pemangkin baharu pada Invest Malaysia, dijangka memberi kesan kepada Bursa Malaysia minggu depan.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan berkata, ekuiti AS ditutup rendah pada Khamis, selepas kembali bergerak ke paras tertinggi November di S&P 500 susulan perkembangan terbaru perang perdagangan, Perbendaharaan AS menyusut, dan minyak mentah Brent turun satu dolar daripada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan untuk menghentikan penyusutan saham tenaga Eropah.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan pandangan kami bahawa pada minggu depan Bursa Malaysia akan berada pada aliran menurun ke paras 1,650l,” katanya.

Bursa tempatan dijangka kekal rendah selepas laporan pendapatan lemah oleh syarikat tempatan dan daripada perspektif asas.

Menurut Nazri, prestasi suram itu dijangka berlanjutan, berdasarkan kadar pengambilan pekerja yang mencatatkan penurunan tiga peratus tahun ke tahun.

“Daripada perspektif pelabur, kami melihat ini sebagai pembetulan kecil, dengan pasaran memberi diskaun kepada pembeli selaras dengan hakikat bahawa syarikat asing semakin yakin dengan Bursa Malaysia. Ini akan membendung kelemahan prestasi dalaman selepas laporan pendapatan kurang memberangsangkan.

“Bagi prospek minggu depan, pelabur perlu mengelak sektor bermusim, dan perlu beri tumpuan pada sektor produk pengguna dan sektor tenaga,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Teknikal Maybank Investment Bank Nik Ihsan Raja Abdullah berkata wujud kemungkinan bagi pengambilan untung di kaunter barisan ketiga, berdasarkan prestasi mereka pada minggu yang baru baerakhir.

“Saya jangka tiada pergerakan besar minggu depan, dengan urus niaga FBM KLCI antara 1,670 hingga 1,690 berikutan pasaran sedang menunggu pemangkin baharu, dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkannya dalam ucapan beliau pada Invest Malaysia, yang boleh dianggap akan memberikan lebih kejelasan kepada pasaran,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI ditutup 0.64 mata lebih tinggi kepada 1,680.54.

Indeks FBM Emas meningkat 19.95 mata kepada 11,759.18, Indeks FBMT 100 naik 12.24 mata kepada 11,602.72 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 10.26 mata kepada 11,748.08.

FBM 70 melonjak 47.29 mata kepada 14,209.07 dan Indeks FBM Ace naik 144.12 mata kepada 4,834.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 44.72 mata kepada 17,537.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.44 mata kepada 170.70 dan Indeks Perladangan turun 7.95 mata kepada 7,256.19.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 19 bilion unit bernilai RM13.22 bilion daripada 14.55 bilion unit bernilai RM11.43 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 15.25 bilion saham bernilai RM12.36 bilion daripada 10.47 bilion saham bernilai RM10.53 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 2.14 bilion unit bernilai RM449.56 juta berbanding 2.65 bilion unit bernilai RM577.32 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat sedikit kepada 1.45 bilion saham bernilai RM356.27 juta berbanding 1.42 bilion saham bernilai RM316 juta. -BERNAMA


Pengarang :