Bursa Malaysia dijangka tidak menentu minggu depan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Bursa Malaysia dijangka tidak menentu minggu depan

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Dagangan di Bursa Malaysia dijangka tidak menentu minggu depan disebabkan aktiviti memperelokkan akaun pada akhir suku tahun.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, aktiviti itu dijangka membawa kepada julat dagangan yang luas di Bursa Malaysia, apabila paras halangan berada pada 1,683, 1,702 dan 1,735 mata, manakala paras sokongan dikesan pada 1,650, 1,637 dan 1,604 mata.

“Dari segi teknikal, kami melihat paras sokongan dan halangan agak jauh daripada paras 1,666.66 petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada masa ini, yang menunjukkan minggu depan akan menjadi minggu yang tidak menentu,” katanya kepada Bernama.


Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan menjangka bursa tempatan diniagakan rendah kepada 1,650 mata minggu depan, didorong oleh perkembangan global baru-baru ini melibatkan rundingan perdagangan AS-China, permintaan penangguhan Brexit, pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang memihak kepada kadar faedah rendah dan penurunan saham perbankan tempatan.

“Bagaimanapun, kami percaya sebarang kemerosotan jangka pendek akan dikurangkan oleh pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai menyenaraikan entiti yang matang ke dalam pasaran saham,” katanya.

Saham di Bursa Malaysia berada dalam pergerakan turun naik bagi minggu baru berakhir, berikutan peserta pasaran memantau mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari dan forum tahunan Invest Malaysia, yang diadakan pada 19 dan 20 Mac, selain Indeks Harga Pengguna bagi Februari yang dikeluarkan pada Jumaat.

Pasaran turut terjejas dengan jangkaan bahawa Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mungkin mengurangkan kadar faedah selepas Fed memberi isyarat bahawa tiada kenaikan kadar faedah, memberi kejutan kepada saham perbankan yang menyebabkan pasaran susut 20.55 mata semasa ditutup pada Khamis.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 13.88 mata kepada 1,666.66.

Indeks FBM Emas berkurangan 76.01 mata kepada 11,683.17, Indeks FBMT 100 susut 65.53 mata kepada 11,537.19 dan Indeks FBM Ace turun 19.66 mata kepada 4,814.79.

FBM 70 melonjak 43.48 mata kepada 14,252.55 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 7.07 mata kepada 11,755.15.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 362.34 mata kepada 17,174.77, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 1.69 mata kepada 169.01 dan Indeks Perladangan merosot 63.34 mata kepada 7,192.85.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 14.45 bilion unit bernilai RM9.78 bilion daripada 19 bilion unit bernilai RM13.22 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 10.06 saham bernilai RM8.86 bilion daripada 15.25 bilion saham bernilai RM12.36 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 2.38 bilion unit bernilai RM496.71 juta berbanding 2.14 bilion unit bernilai RM449.56 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.0 bilion saham bernilai RM426.95 juta daripada 1.45 bilion saham bernilai RM356.27 juta.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next