EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia diniagakan rendah dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan rendah 0.08 peratus disebabkan tiada peserta pasaran dalam dagangan awal.

Pada 9.05 pagi, indeks susut 1.35 mata kepada 1,648.59 daripada 1,649.94 semasa ditutup pada Selasa. Ia dibuka rendah 0.77 mata kepada 1,649.17 pagi ini.

Di pasaran lebih luas, bagaimanapun, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 133 berbanding 66, manakala 159 kaunter kekal tidak berubah, 1,898 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 133.8 juta saham bernilai RM63.69 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Public Investment Bank Bhd optimis FBM KLCI mungkin diniagakan tinggi hari ini selepas saham AS ditutup tinggi pada Selasa, susulan sektor tenaga dan kewangan memberi rangsangan kepada pasaran.

Dow Jones Industrial Average naik 140.90 mata atau 0.6 peratus kepada 25,657.73 selepas meningkat lebih 200 mata pada sesi tersebut. Indeks S&P 500 menokok 20.10 mata atau 0.7 peratus kepada 2,818.46.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM9.30, Tenaga menambah enam sen kepada RM12.58, PChem meningkat enam sen kepada RM9.11 dan CIMB menokok satu sen kepada RM5.13.

PBBank merosot enam sen kepada RM23.68.

Daripada saham aktif, MRCB meningkat empat sen kepada 88 sen, My E.G naik satu sen kepada RM1.41, manakala Bumi Armada, Iris Corporation dan Sapura Energy, masing-masing tidak berubah pada 18.5 sen, 15 sen dan 33.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 1.11 mata kepada 11,574.23, Indeks FBMT 100 merosot 2.42 mata kepada 11,429.37 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 7.61 mata kepada 11,663.12.

FBM 70 naik 25.29 mata kepada 14,189.59 dan Indeks FBM Ace meningkat 8.64 mata kepada 4,787.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 23.93 mata kepada 17,032.72, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.23 mata kepada 168.09. Indeks Perladangan menokok 27.03 mata kepada 7,172.62. -BERNAMA

 


Pengarang :