LANGKAWI, 28 Mac — Pegawai Memerintah Skuadron Ke-22 TUDM, Left Kol Yusrizal Zain yang membawa pesawat A400M mendapat prestasi cemerlang merakam jam penerbangan paling tinggi dalam kalangan semua pengendali A400M di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

Cabaran juruterbang TUDM di kawasan bencana

LANGKAWI, 29 MAC: Usaha mendaratkan pesawat Airbus A400M di kawasan bencana gempa bumi di Palu, Indonesia mendapat pengiktirafan antarabangsa atas kecekapan dan kemahiran juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pendaratan di landasan yang hampir tidak boleh digunakan selepas retak akibat bencana itu.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan pesawat pengangkut terbesar itu membuat pendaratan pesawat yang penuh dengan muatan kargo di kawasan itu ketika terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan bencana.

Berikutan prestasi cemerlang serta tahap penggunaan yang tinggi, Skuadron Ke-22 TUDM mendapat pengiktirafan daripada Airbus dalam satu majlis semalam atas kejayaan mereka merakam jam penerbangan paling tinggi dalam kalangan semua pengendali A400M di seluruh dunia.

Pegawai Memerintah Skuadron Ke-22 TUDM, Lt Kol Yusrizal Zain, 43, berkata sebahagian landasan telah rosak dan menyebabkan A400M sukar untuk mendarat kerana kawasan landasan yang terhad.

”Pada mulanya, pesawat ini tidak dibenarkan mendarat di kawasan berkenaan namun selepas membuat analisis dan perkiraan, kami mendapati pesawat ini mampu untuk masuk landasan dan melaksanakan tugas operasi kemanusiaan dan bencana di Palu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Mahsuri Antarabangsa (MIEC), di sini semalam.

Yusrizal berkata, hanya satu pertiga landasan rosak dan menggunakan lebih kurang 2,000 meter landasan yang tinggal untuk mendarat.

“Oleh itu, pesawat ini terbukti mampu beroperasi di landasan yang rosak atau tidak diturap dan lebih pendek kerana reka bentuk dan teknologinya,” katanya.

LANGKAWI, 28 Mac — Pegawai Memerintah Skuadron Ke-22 TUDM, Left Kol Yusrizal Zain yang membawa pesawat A400M mendapat prestasi cemerlang merakam jam penerbangan paling tinggi dalam kalangan semua pengendali A400M di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Pesawat berkenaan membolehkan Malaysia menyokong pelbagai operasi kemanusiaan dengan lebih efektif berbanding dahulu kerana TUDM memiliki keupayaan untuk terbang lebih jauh dan pantas sambil membawa berat bebanan lebih tinggi berbanding pesawat lain.

“Walaupun A400M secara idealnya lebih sesuai digunakan untuk menyokong misi kemanusiaan di rantau Asia Pasifik, namun ciri pesawat yang serba boleh akan memantap dan mempertingkatkan keupayaan operasi TUDM,” katanya.

Ditanya berkenaan jumlah misi kemanusiaan dan bencana yang pernah dijalankan A400M, Yusrizal berkata, pesawat berkenaan telah melaksanakan enam misi bantuan kemanusiaan dan bencana sejak 2017.

Empat pesawat yang mula diterima secara berperingkat sejak Mac 2015 itu turut pernah melaksanakan tugas bagi mengisi bahan api pesawat-pesawat tempur milik TUDM di udara.

LIMA’19 yang bermula pada Selasa lepas dan akan berkahir pada 30 Mac. Venue pameran ialah di MIEC dan Resorts World Langkawi (RWL).

Sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing – yang kebanyakannya berkaitan pertahanan, mengambil bahagian dalam LIMA’19. -BERNAMA


Pengarang :