SELANGOR

Cacat kekal tak halang Kandayah jadi pengundi OKU terawal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 2 MAC: Cacat kekal di kaki sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda tidak menghalang P Kandayah, 68, melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, hari ini.

Menjadi antara pengundi Orang Kelainan Upaya (OKU) terawal tiba di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, sekitar jam 8.15 pagi, beliau kelihatan begitu bersemangat untuk membuang undi.

Kandayah yang menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu ditemani isterinya yang turut mengundi di situ.

“Ini kali kedua saya mengundi di sini selepas Pilihan Raya Umum ke-14 di pusat pengundian yang sama.

“Saya bangun seawal jam 5 pagi untuk buang undi (dan) ini adalah tanggungjawab penting saya sebagai pengundi untuk menentukan wakil rakyat yang kita mahu tadbir urus di Semenyih dapat dibuat sebaiknya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau yang menetap di Taman Desa Perdana dan juga anak tempatan Semenyih, berharap sesiapa sahaja wakil rakyat dipilih dapat memberikan yang terbaik, khususnya dalam memelihara kebajikan serta kesejahteraan penduduk.


Pengarang :