NASIONAL

Caj 20 sen beg plastik tampung kos pengeluaran peniaga

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 12 MAC : Caj 20 sen ke atas beg plastik biodegradasi bertujuan menampung sebahagian kos pengeluarannya oleh peniaga.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, peniaga dan peruncit dibenarkan mengenakan caj 20 sen ke atas bahan berkenaan yang dibekalkan kepada pembeli, bermula Jumaat ini.

“Merujuk kenyataan saya pada 10 Mac lalu berhubung caj 20 sen bagi beg plastik biodegradasi, peniaga dan peruncit dibenarkan mengenakan caj.

“Caj itu adalah untuk menampung sebahagian kos pengeluarannya yang selama ini ditanggung peniaga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi mengelakkan daripada menanggung kos 20 sen itu, orang ramai boleh membawa beg sendiri apabila membeli belah.

Terdahulu, katanya, caj berkenaan selaras dengan matlamat kerajaan mengatasi masalah pencemaran sisa plastik melalui Pelan Hala Tuju Ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).


Pengarang :