PBTSELANGOR

Caj parkir MBSA naik 20 sen bermula 1 April

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MAC: Kadar caj tempat letak kereta di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal dinaikkan sebanyak 20 sen kepada 60 sen sejam mulai bulan depan.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, caj sebulan dinaikkan RM30 kepada RM90 sebulan bermula 1 April ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kenaikan itu dibuat memandangkan kadar sebelum ini diguna pakai sejak 1998.

Tambahnya, kadar itu masih rendah berbanding PBT lain di Selangor dan negeri lain.

“Kenaikan kadar caj oleh MBSA ini dilaksanakan selepas 21 tahun menggunakan kadar caj yang sama dan jika dibuat perbandingan antara 14 PBT bertaraf bandar raya di Malaysia, ia antara yang terendah termasuk di Selangor,” katanya hari ini.

Perenggan 56 Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Shah Alam) membenarkan MBSA meminda jadual caj parkir jika ada keperluan untuk berbuat demikian, katanya.

Walaupun kenaikan kadar itu bermula April ini, pengguna yang masih memiliki kupon berharga 40 sen masih boleh menggunakannya sehingga tamat tempoh yang tertera padanya.

Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan kadar baru itu, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-5522 2882.


Pengarang :