PBTSELANGOR

Caj parkir MBSA tak naik sejak 21 tahun lalu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 MAC: Caj tempat letak kereta tidak dinaikkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sejak 21 tahun lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, sehingga kini, caj terbabit adalah paling rendah berbanding Pihak Berkuasa Tempatan yang bertaraf bandar raya di negara ini.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang ekoran hasil daripada caj itu akan diberikan semula kepada masyarakat.

“Ia melalui penyediaan perkhidmatan perbandaran seperti kutipan sampah; pembersihan awam; penyediaan kemudahan awam seperti dewan, pasar dan sebagainya.

“Pada masa sama, MBSA akan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa rungutan orang ramai berhubung caj tempat letak kereta dinaikkan sebanyak 20 sen, bermula 1 April depan.

Semalam dilaporkan kadar caj tempat letak kereta di kawasan pentadbiran MBSA bakal dinaikkan sebanyak 20 sen kepada 60 sen sejam mulai bulan depan.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, caj sebulan dinaikkan RM30 kepada RM90 sebulan bermula 1 April ini.

Jika ada sebarang pertanyaan berkaitan kadar baru itu, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil MBSA di talian 03-5522 2882.


Pengarang :