NASIONAL

Calon PAKATAN bukan atas dasar kaum semata-mata

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram bukan atas dasar kaum semata-mata sebaliknya beliau mewakili rakyat Malaysia.

Naib Presiden PAKATAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, fokus utama pihaknya adalah meyakinkan pengundi di Rantau untuk memenangi kerusi berkenaan walaupun UMNO sering menggunakan isu perkauman demi kelangsungan politik.

“Kita tidak pernah meletakkan calon PAKATAN atas dasar kaum. Dia adalah rakyat Malaysia, mewakili semua kaum dan sekiranya kita dapat meyakinkan pengundi di Rantau, kita berpeluang untuk memenangi kerusi itu,” katanya kepada media di Lobi Parlimen.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, PAKATAN akan berhadapan cabaran besar sekiranya UMNO mengekalkan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon kerana beliau mempunyai kelebihan sebagai wakil rakyat sebelum ini.

“Saya percaya dengan gabungan PAKATAN, jentera yang kuat serta strategi betul, kita dapat memberikan saingan yang kuat.

“Isu perkauman akan terus dimainkan UMNO dan itu memang survival mereka. Kita pegang prinsip semua rakyat Malaysia menikmat kemakmuran dan pembangunan negara bersama.

“Kita akan memberikan beberapa penjelasan berkaitan inisiatif dilakukan dan berharap rakyat menerima pandangan serta dasar kerajaan,” katanya.

Semalamn, KEADILAN mengumumkan Dr Streram sebagai calon pada PRK Rantau yang akan dilangsungkan pada 13 April depan.


Pengarang :