SELANGOR

Ceritalah Wanita martabat 11 tokoh wanita

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 28 MAC: Kehebatan 11 tokoh wanita di negara ini diangkat menerusi penghasilan buku Ceritalah Wanita keluaran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor.

Buku terbitan agensi Kerajaan Negeri itu memuatkan kompilasi kisah benar kesemua tokoh bagi menimbulkan kesedaran kepentingan wanita dalam masyarakat.

Antara tokoh yang dimuatkan ialah pejuang wanita UMNO yang juga tokoh pejuang kemerdekaan negara, Tan Sri Datin Paduka Seri Dr Aishah Ghani.

Allahyarhamah seringkali menyelitkan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan ketika menjadi juruhebah wanita Melayu pertama di Radio BMA Kuala Lumpur.

Tokoh lain ialah, Pakar Astrofizik pertama Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman; aktivis hak asasi manusia dan wanita, mendiang Irene Fernandez dan tokoh akademik, Dr Cecilia Ng.

Buku berkenaan dirasmikan isteri kepada Dato’ Menteri Besar merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Masdiana Muhamad.

Masdiana berkata, Ceritalah Wanita lahir daripada rasa tanggungjawab untuk menggali permata yang ceritanya tersimpan dan tidak didendang.

“Usaha IWB ini harus diberikan pujian, kerana tokoh ini merupakan suara dan bukti bahawa wanita mampu, sentiasa berminat dan bersemangat untuk berbakti kepada masyarakat.

“Kesemuanya berdiri teguh kerana pengalaman hidup yang tersendiri, maka, saya berharap supaya kisah benar ini mampu menginspirasikan setiap pembacanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pelancaran Buku Ceritalah Wanita di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin; EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; Pengerusi IWB, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Kamariah Ahmad Subki.

IWB ditubuhkan Kerajaan Selangor untuk merangka polisi dan strategi yang membawa kepada pemberdayaan dan kemajuan wanita demi merealisasikan negeri yang inklusif, lestari dan adil.


Pengarang :