SELANGOR

China terus jadi penyumbang pelaburan asing tertinggi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Di sebalik kejayaan Selangor merekodkan nilai pelaburan tertinggi sejak 30 tahun lalu dengan berjumlah RM24.8 bilion bagi 2018 menerusi sektor perkilangan dan perkhidmatan, China merupakan penyumbang tertinggi sebagai pelabur asing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, China terus menjadi penyumbang tertinggi sebanyak RM3.934 bilion menerusi sektor barangan asas logam, produk kertas dan sektor lain.

“Jepun pula menjadi penyumbang tertinggi dari segi bilangan projek dengan 27 projek diluluskan tahun lepas berjumlah RM435.6 juta.

“Jumlah itu menerusi penglibatan bidang seperti industri semiconduktor, ‘factory automation parts’, industri makanan, produk LED serta makanan,” katanya dalam sidang media khas di Lobi Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS).

Bagi 2018, Selangor mencatatkan jumlah nilai pelaburan diluluskan bagi sektor perkilangan berjumlah RM18.947 bilion manakala RM5.784 bilion menerusi sektor pekhidmatan.

Amirudin menjelaskan, pelaburan baru juga mencatatkan peningkatan 427 peratus iaitu RM13.522 bilion pada 2018 berbanding RM2.565 bilion pada 2017.

Pengembangan pelaburan pula mempamerkan peningkatan 79.2 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM5.424 bilion pada 2018 dan RM3.026 bilion direkodkan pada 2017.

“Secara keseluruhannya, 18,475 berpeluang pekerjaan direkodkan dan yang tertinggi di negara dalam sektor perkilangan pada 2018.

“Ia merupakan peningkatan 84 peratus berbanding 10,031 peluang pekerjaaan di sektor perkilangan pada 2017,” katanya.

 


Pengarang :