SELANGOR

CSSB komited tingkat usaha pelaburan lebih kualiti

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 12 MAC: Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) komited akan meningkatkan usaha membawa masuk pelaburan lebih berkualiti untuk merangsang pertumbuhan projek Selangor Bio Bay (SBB).

Ketua Pegawai Ekseksutifnya, Mohamad Razif Abdul Wahab berkata, beliau menjangkakan fasa pertama pembangunan SBB yang terletak di Presint 1A Pulau Indah mampu menarik pelaburan bernilai RM500 juta pada masa akan datang.

Katanya, sehingga kini pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada pelabur luar yang mahu melabur di SBB.

“SBB adalah projek pembangunan bercampur terkini yang dipelopori CSSB sejajar dengan hasrat menjadikan Selangor sebagai negeri pintar.

“Kami mempunyai pelan lima tahun (sebagai pemaju utama di Pulau Indah) yang perlu dibawa kepada tahap lebih tinggi dan terjemahkan teori pelan itu ke tapak fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis ‘Central Spectrum The New Chapter’ di Selangor Bio Bay Presint 1A, di sini, hari ini.

Katanya, inisiatif pelaksanaan SBB bertujuan memajukan dan memacu pertumbuhan industri bioteknologi di Malaysia.

Pada masa sama, katanya, sejak CSSB melancarkan Taman Perindustrian Pulau Indah pada pertengahan 90-an, nilai tanah di kawasan itu sudah meningkat daripada RM15 satu kaki persegi kepada RM80 (satu kaki persegi) ketika ini.

“Pada 2017, IKEA bersetuju untuk mewujudkan hab pengedaran perabot ketiga terbesarnya di Pulau Indah dan ia sekali gus membuktikan keyakinan mereka terhadap potensi di Selangor,” katanya.

SBB diwujudkan sebagai lembah bio yang meliputi kawasan seluas lebih 1,012 ekar (404.8 hektar) di Pulau Indah dan adalah kawasan biosains termasuk institut penyelidikan, makmal sera aktiviti pembuatan berkaitan bioteknologi.

Fasa pertama pembangunan SBB di Presint 1A di Pulau Indah, meliputi kawasan keseluruhan 161 ekar (64.4 hektar) yang kini dibuka untuk jualan.

 


Pengarang :