SELANGOR

CSSB lancar logo baharu, sempena 25 tahun penubuhan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 MAC: Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) melancarkan logo korporat baharu bersempena 25 tahun penubuhannya, hari ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, dengan logo korporat terkini itu, ia menandakan bermulanya babak baharu syarikat terbabit.

Katanya, dengan pengalaman dan kemampuan dalam tempoh berkenaan, beliau percaya syarikat itu mampu beroleh kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

“Saya menyifatkan kejayaan CSSB selama 25 tahun kerana ia adalah hasil usaha seluruh kepimpinan dan kakitangan yang menjadi tulang belakang syarikat ini.

“Malah, saya yakin di bawah kepimpinan baharu, Mohamad Razif Abdul Wahab selaku Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, kejayaan syarikat ini akan melonjak lebih tinggi pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis “Central Spectrum The New Chapter” di Selangor Bio Bay Precinct 1A di sini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmi Diron; Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Mohamad Razif.

Pada masa sama, katanya, beliau berbangga dan mengucapkan tahniah kepada CSSB di atas kejayaan yang diperolehi selama 25 tahun penubuhan.

Terdahulu, CSSB adalah sebuah syarikat pembangunan hartanah yang kini beroperasi di Pulau Indah yang ditubuhkan mula pada 1994.

Kini, CSSB telah mencapai pencapaian luar biasa dalam 25 tahun penubuhannya dalam industri.


Pengarang :