SELANGOR

Daroyah tekad pastikan sidang DUN berjalan lancar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 MAC: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baharu, Dr Daroyah Alwi bertekad memastikan persidangan DUN berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa berkata, pengalaman selama sepenggal mentadbir di DUN berkenaan menjadi medan terbaik untuk beliau terus komited dalam menggalas amanah dan tanggungjawab itu.

“Kali ini 50 ADN adalah daripada rakan-rakan saya, jadi kita harap sidang DUN berjalan dengan tertib dan teratur serta tiada sebarang masalah.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan rakan-rakan ADN yang melantik saya menjadi Timbalan Speaker yang sebelum ini kosong selepas Mohd Khairuddin Othman dilantik menjadi EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, pada Disember lalu,” katanya ketika ditemui SelangorKini

Terdahulu, Dr Daroyah Alwi merangkap Timbalan Ketua Wanita KEADILAN mengangkat sumpah memegang jawatan itu pada Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor ke-14, di sini, hari ini.

Beliau Timbalan Speaker wanita kedua di DUN Selangor selepas Hanizah Mohamed Talha (sebelum ini ADUN Taman Medan) pada 2008.

Sejak Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir Selangor pada 2008 yang ketika itu (Pakatan Rakyat), ini adalah kali kedua Timbalan Speaker DNS dilantik dalam kalangan ADN wanita.

Sebelum ini, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar yang juga ADN Lembah Jaya, Haniza Talha pernah dilantik selaku Timbalan Speaker DNS bergandingan ADN Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Kim selaku Speaker DNS.


Pengarang :