SELANGOR

Dasar keterbukaan kerajaan PAKATAN kejayaan sebenar

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 3 MAC: Dasar keterbukaan diamalkan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah kejayaan sebenar parti itu.

Pengarah Pilihan Raya PAKATAN Selangor, Yahya Sahri berkata, walaupun kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, namun kejayaan sebenar PAKATAN ialah membenarkan keterbukaan pemberitaan media pada masa kini.

Katanya, oleh sebab itu, secara jelas ia memperlihatkan rakyat Malaysia semakin cerdik, pintar serta terbuka minda tanpa kongkongan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Malah rakyat lebih bijaksana dalam menilai dan meneliti manifesto pilihan raya dan ia wajar diberikan penghargaan besar.

“Ini kerana selama 13 kali berlangsungnya PRU, rakyat tidak pernah meneliti manifesto pilihan raya dibentangkan hinggakan kerajaan sebelum ini memerintah menggunakan wang rakyat sesuka hati, namun kini semuanya sudah menjadi lebih terbuka,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Mengulas lanjut, Yahya berkata, beliau turut berbangga apabila kira-kira 73.24 peratus penduduk keluar mengundi iaitu kira-kira 38,425 pengundi.

“Syabas dan tahniah kepada calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi yang sudah memenangi PRK Semenyih dengan majoriti 1,914.

“Juga tidak ketinggalan buat Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengendalikannya dengan baik dan sempurna serta syabas kepada semua calon juga parti menyertai PRK kali ini, proses serta pernyataan demokrasi mesti disuburkan melalui pilihan raya,” katanya.


Pengarang :