Selangorkini
SELANGOR

Denggi meningkat, Kerajaan Negeri usaha tingkat kawalan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Wabak denggi di Selangor secara kumulatif sehingga 9 Mac lalu mencatatkan sebanyak 17,004 kes berbanding 6,138 kes bagi tempoh sama, pada tahun lalu.

Justeru, melihat kepada situasi itu, EXCO Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri berusaha mengawal kes demam denggi daripada menjadi penyakit epidemik dengan penularan wabak bagi penyakit meningkat melebihi jumkah yang dijangka.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk menampung perbelanjaan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi, pada tahun ini.

“Hanya Selangor yang memperuntukkan sejumlah wang besar untuk menangani denggi berbanding negeri lain di Malaysia.

“Sejumlah RM1.248 juta akan disalurkan kepada Ahli Majlis melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melaksanakan aktiviti pencegahan di kawasan masing-masing dengan membabitkan masyarakat setempat.

“Di samping itu, setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) juga diminta menggunakan sejumlah RM10,000 daripada peruntukan Khidmat Masyarakat DUN bagi melaksanakan program pencegahan denggi seperti aktiviti cari dan musnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADN Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew berhubung tindakan terbaharu bagi mengurangkan kes denggi daripada terus berlaku, di Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini, hari ini.

Menjawab soalan diajukan ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berhubung kaedah penghapusan nyamuk aedes, Dr Mariah berkata, langkah kawalan dan pencegahan denggi bagi menghapuskan nyamuk aedes digunakan seperti disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Langkah kawalan seperti pemantauan kes yang dilaporkan secara harian di peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat serta melaksanakan aktiviti kawalan secara berkesan ke atas setiap kes yang dilaporkan misalnya pemusnahan tempat pembiakan aedes, semburan racun termal untuk nyamuk dewasa (fogging dan ULV) dan semburan racun membunuh larva.

“Langkah pencegahan meliputi pemantauan indeks pembiakan aedes di kawasan berisiko tinggi denggi dan kawasan tumpuan awam, selain melaksanakan semburan kabus pencegahan di kawasan mempunyai indeks pembiakan aedes tinggi,” katanya.


Pengarang :