SELANGOR

Didenda RM25,000 buang sampah dalam kolam

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 23 MAC: Gara-gara membuang sampah secara haram ke dalam sebuah kolam, pemilik tanah berhampiran Taman Damai Utama dikenakan denda sebanyak RM25,000.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, aktiviti tidak bertanggungjawab itu mula dikesan apabila penduduk mula menghidu bau busuk pada Julai, tahun lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati puluhan lori membuang sampah domestik dan juga industri ke dalam sebuah kolam berukuran tiga ekar.

“Kawasan ini dipercayai sedang dibersihkan untuk tujuan pembangunan, namun mereka belum membuat sebarang permohonan kemajuan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Namun secara diam-diam, ada lori yang membuang sampah ke sini secara haram. Apa yang mengecewakan saya ialah, mereka membuang pelbagai sampah ke dalam kolam semulajadi termasuk tilam dan perabot, disebabkan itu ia berbau busuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan ke tapak pembuangan sampah haram di Taman Damai Utama, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis MPSJ, E Mehanatan berkata, selain dikenakan denda, lima buah lori telahpun disita dan dikenakan denda sebanyak RM1,000 setiap satu.

“Kes ini juga sudah dibawa ke mahkamah dan MPSJ akan memantau ketat ini dari masa ke semasa. Untuk makluman, kawasan yang terjejas juga sudah dibersihkan,” katanya.

Bagi penduduk Kinrara Residence, N Devagar, berharap supaya masalah itu tidak berulang kembali berikutan bau dari tapak pembuangan sampah haram begitu meloyakan.

“Bayangkan kami tidak boleh buat sebarang aktiviti luar kerana bau terlalu busuk sebelum ini, sejak perayaan Krismas lalu kami terpaksa menghentikan sebarang majlis terbuka, dan ia berlarutan hingga ke Tahun Baharu Cina.

“Penduduk mahu supaya denda kepada pesalah alam sekitar ini lebih ketat supaya mereka serik melakukannya lagi,” katanya.

 


Pengarang :