SELANGORSUKANKINI

Dr Azizan dilantik presiden UiTM FC baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MAC: Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Azizan Abdullah, dilantik sebagai presiden UiTM FC baharu.

Bercakap kepada media, beliau berharap pelantikannya itu dapat meneruskan kecemerlangan UiTM FC sejak penubuhannya, pada 2009.

“Untuk pengetahuan, UiTM dipilih menjadi pusat kecemerlangan sukan bola sepak memandangkan kejayaan dicapai di peringkat universiti.

“Malah, kita mempunyai kepakaran dan kemudahan tersendiri di UiTM, sekali gus berjaya memartabatkan pembangunan sukan ini,” katanya pada majlis pelantikannya, di Pusat Sukan UiTM, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UiTM FC, Dr Mohd Baharin Othman; Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad dan barisan ahli EXCO UiTM FC serta pemain.

Pada masa sama, beliau berkata, barisan pemain dan jurulatih perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam menjadikan UiTM lebih disegani pasukan serta kelab lain dalam Liga Malaysia.

“Sebagai sebuah kelab yang berada dalam institusi pendidikan tinggi, saya mahu UiTM FC menjadi contoh dalam semua aspek pembangunan bola sepak.

“Ia termasuk aspek pengurusan, kejurulatihan, sains sukan, pemasaran dan yang penting kejayaan daripada segi prestasi pasukan dalam liga diceburi,” katanya.


Pengarang :