TOKYO, 7 Nov — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang akhbar kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun hari ini. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA TOKYO, Nov 7 — Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad during a press conference with Malaysian journalists after ending of his three-day working visit to Japan, today. — fotoBERNAMA (2018) COPYRIGHT RESERVED?
NASIONAL

Dr Mahathir: Kerjasama Umno-PAS tidak bimbangkan PAKATAN

PUTRAJAYA, 3 MAC: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak bimbang dengan kerjasama Umno-PAS yang menjadi antara punca kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin gabungan sebegitu hanya akan berlaku pada PRK yang kemenangannya tidak membawa makna besar.

“Dalam PRK menang kalah tidak penting tetapi dalam pilihan raya umum lain, mereka tidak tidak boleh bekerjasama.

“Kalau mereka bekerjasama, PAS tidak akan mendapat apa-apa,” katanya yang juga Pengerusi PAKATAN pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara di Taman Botani di sini, hari ini.

BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih pada PRK yang menyaksikan calonnya, Zakaria Hanafi mengatasi calon PAKATAN, Mohammad Aiman Zanali dan dua lagi calon dengan majoriti 1,914 undi.

Mengakui penggunaan isu agama yang keterluan ketika kempen juga antara punca kekalahan PAKATAN, Dr Mahathir berkata, pihaknya akan segera melakukan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca sebenar gabungan itu gagal mempertahankan kerusi DUN Semenyih dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu.

Beliau berkata, perbezaan majoriti diraih juga menunjukkan pengundi Semenyih sudah berubah fikiran akibat persepsi negatif dan provokasi agama tidak perlu yang berlaku sepanjang tempoh berkempen.

“Ada sesetengah pihak melakukan provokasi tidak perlu seperti melukis kartun Nabi Muhammad sedangkan perkara sebegini tidak menyumbang ke arah kebaikan negara,” katanya.

Berhubung kegagalan menunaikan janji manifesto yang juga dilihat antara faktor menyumbang kekalahan PAKATAN, Dr Mahathir berkata, kerajaan memerlukan masa lebih panjang untuk merealisasikan janji mereka.

Perdana Menteri berkata, ketika pihaknya berusaha menunaikan janji pilihan raya, kerajaan juga pada masa yang sama perlu membayar hutang lebih RM1 trilion ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Menjadikan hutang projek Laluan Rel Pantai Timur sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, kerajaan terpaksa membayar faedah RM200 juta pada setiap enam bulan bagi pinjaman RM55 bilion yang dibuat kerajaan terdahulu untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Bermakna duit kita ada yang sepatutnya diguna untuk membantu rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang ditinggalkan kepada kita,” katanya.

Dr Mahathir juga mempertahankan dakwaan PAKATAN terhadap PAS kerana yakin dengan kebenarannya termasuk janji tidak menyokong Umno di Semenyih serta pembayaran RM1.4 juta kepada Editor Sarawak, Clare Rewcastle-Brown untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr Mahathir berkata, pihaknya mempunyai bukti jelas berkenaan pembayaran terbabit dan perkara itu tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Katanya, beliau tidak menyalahkan individu (Rameli Musa) yang dikaitkan dengan pembayaran wang oleh Abdul Hadi kepada Rewcastle-Brown namun ‘marah dengan cara PAS yang berbohong’.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :