BERITA UTAMANASIONAL

Dr Streram kekal calon PAKATAN di PRK Rantau

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal mencalonkan Dr S Streram untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Rantau.

Perkara itu diumumkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, sebentar tadi.

“Selepas mengambil kira semua faktor, kita bersetuju meletakkan kaum India walaupun pada masa ini Umno giat memainkan isu perkauman.

“Kita bersetuju meletakkan calon yang boleh menjaga kepentingan kesemua kaum,” katanya.

Anwar berkata, keputusan memilih Steram dibuat selepas Majlis Pimpinan Pusat selesai meneliti kesemua nama yang dikemukakan Majlis Pimpinan Negeri.

Katanya, pencalonan Steram juga mendapat persetujuan Majlis Presiden PAKATAN dalam mesyuarat pada 9 Mac yang dipengerusikan Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Steram yang juga Penyelaras DUN Rantau merupakan calon KEADILAN yang dinafikan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu ekoran isu pas masuk ke dewan pusat penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Rantau pada 13 April ini, manakala hari penamaan calon ialah pada 30 Mac ini.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan, pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.


Pengarang :