Dr Streram konsisten tegak keadilan-Dr Wan Azizah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Dr Streram konsisten tegak keadilan-Dr Wan Azizah

SEREMBAN, 30 MAC: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebagai seorang yang konsisten dalam menegakkan keadilan untuk rakyat.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perjuangan Dr S Streram yang berterusan akhirnya menyaksikan kerusi DUN berkenaan dipertandingkan semula.

Beliau yang juga Presiden PAKATAN berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, berlaku ketidakadilan apabila PAKATAN dinafikan hak untuk bertanding, seterusnya menyaksikan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding.


“Sebab itu kes ini dibawa ke mahkamah dan mahkamah putuskan bahawa memang ada asas, sebab itulah PRK berlaku pada kali ini

“Kita mohon supaya berilah peluang dan undi kepada kita, memenangkan calon kita yang mahukan keadilan dan teruskan perjuangan walaupun dinafikan pada masa dahulu dan dikatakan kalah, namun dia terus mencapai keadilan demi rakyat,” katanya dalam sidang media.

Turut bersama dalam sidang media berkenaan ialah Ketua Umum PAKATAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof, Naib Presiden DAP M. Kula Segaran dan Dr Streram.

Pada PRK berkenaan, Dr Streram akan berhadapan Mohamad yang mewakili Barisan Nasional dan dua calon bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, jentera dari keempat-empat parti komponen PAKATAN bertapak di kawasan masing-masing dan memulakan tugas.

Katanya, PAKATAN akan memberi fokus kepada tiga perkara termasuk mengajak rakyat memberi dokongan penuh kepada PH dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah berjaya mengekang keterlanjuran besar rasuah negara.

SEREMBAN, 30 Mac — Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika tiba di Pusat Penamaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Seri Sendayan untuk mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selain itu, katanya jentera akan turut bergerak aktif memberi penjelasan berkenaan projek di peringkat negeri dari segi pertolongan kepada rakyat miskin dan penyediaan kemudahan asas yang jauh lebih baik dari kerajaan terdahulu, termasuk di Rantau.

“Ketiga, khusus untuk Rantau, kita lihat ia satu kawasan berhampiran dengan Kuala Lumpur yang mempunyai potensi besar tapi telah terabai walaupun dikuasai Barisan Nasional sekian lama,” katanya.

Turut bersetuju ialah Muhyiddin yang melihat PRK ini satu peluang baik untuk jentera PAKATAN menjelaskan kepada rakyat apa yang diperjuangkan kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

“Kerana sebelum ini ada beberapa perkara yang diputar belit pembangkang menyebabkan rakyat salah faham dengan apa diperjuangkan kerajaan PAKATAN. Peluang ini kita akan gunakan untuk jelaskan dengan lebih terperinci.

“Kita ambil sikap lebih ofensif… kerana saya tak fikir kita perlu bersikap defensif seolah-olah apa dilakukan kerajaan sebelum ini tak beri faedah kepada rakyat,” katanya.

-BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next