NASIONAL

Dr Wan Azizah mula lawatan kerja ke Paris

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memulakan lawatan kerja lima hari ke Paris, Perancis hari ini dengan menyertai mesyuarat Majlis Program Pengurusan Transformasi Sosial Antara Kerajaan (IGC MOST) dan Sesi ke-14 IGC, MOST.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mempengerusikan program IGC MOST, pada 18 Mac serta sesi ke-14 IGC, MOST pada 19 dan 20 Mac.

“Selang menghadiri sesi ini, Dr Wan Azizah dijadual menemui Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Audrey Azoulay.

“Beliau juga dijangka menemui anggota Parlimen Perancis, Menteri Negara Perancis bagi Orang Kurang Upaya: bekas Menteri Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Penyelidikan; dan Presiden Majlis Penganut Islam Perancis,” kata kenyataan itu.

Dr Wan Azizah ialah Presiden MOST IGC ketika ini berikutan pemilihan Malaysia ke IGC bagi penggal 2017–2019.

Beliau akan memegang jawatan itu sehingga Sesi Luar Biasa MOST IGC akan datang.

Di luar jadual itu, Dr Wan Azizah juga dijadual merasmikan Pesta Buah-buahan Tropika Malaysia di UNESCO Restaurant dan menjadi hos majlis jamuan malam untuk para duta besar/perwakilan tetap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke UNESCO sebagai sebahagian daripada usaha lobi Malaysia bagi menganggotai Lembaga Eksekutif UNESCO (2019– 2023).

Antara pencapaian utama Malaysia di bawah program MOST ialah penyempurnaan sebuah projek penyelidikan mengenai Keterangan ‘Valorising’ tentang Pembangunan Sosial bagi Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan oleh Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dua program pembangunan masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terlibat dalam projek ini iaitu program Pemerkasaan Keluarga dan Masyarakat (FACE) dan Pusat-pusat Aktiviti untuk Orang-orang Tua (PAWE). -BERNAMA


Pengarang :