GLOBALNASIONAL

Saya bangga tapi jangan lemparkan telur macam saya, kata ‘Egg Boy’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Will Connolly, yang melonjak popular selepas memecahkan telur di kepala senator Australia dalam isu serangan masjid, tidak menggalakkkan perbuatan tersebut.

Remaja 18 tahun itu, yang berbuat demikian terhadap Fraser Anning sehari selepas serangan Christchurch pada 15 Mac, bagaimanapun menegaskan beliau tetap berbangga dengan tindakannya.

Menceritakan pendiriannya di Instagram 26 Mac lalu, Connolly yang berang dengan kecaman senator Queensland terhadap umat Islam mengambil keputusan tersebut selepas lebih sejam mendengar ucapan Anning.

“Saya bangga menegakkan apa yang wajar dan menggalakkan setiap kita untuk berdiri menegakkan apa yang kita percaya,” coretnya. “Saya tidak menyokong keganasan dan saya tidak menyokong membaling telur pada orang lain.”

Kata remaja Australia itu lagi, yang digelar “remaja telur”, seorang wanita dari Christchurch memberitahunya dalam kesedihan susulan serangan ini, “inilah kali pertama beliau tersenyum.”

Serangan di masjid Al-Noor dan Linwood mengorbankan lebih 50 nyawa, termasuk seorang remaja Malaysia, dan puluhan lain tercedera.

Anning, yang dianggap penyokong pelampau kulit putih, menyifatkan serangan itu berpunca daripada dasar New Zealand yang membenarkan orang Islam “fanatik” menetap di negara itu.


Pengarang :