SELANGOR

Elak stres, jangan obses jadi ‘super women’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Wanita di negeri ini disaran tidak terlalu obses untuk menjadi ‘super hebat’ hanya semata-mata untuk bersaing dengan lelaki sedangkan golongan itu tidak dituntut menjadi ‘lelaki super hebat’.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu bagi mengelakkan wanita menjadi stres sehingga memberi kesan emosi, fizikal dan tingkah laku.

“Wanita suka mewujudkan ekosistem sihat, menyokong gaya kepimpinan kolaboratif serta melebarkan daya pemikiran yang berdaya saing. Untuk menjadi ‘super women’ bukan perkara tidak bagus tetapi kita perlu ada keutamaan.

“Saya cukup yakin dan percaya, dengan sifat semula jadi wanita itu sendiri sebagai seorang ibu, kita sentiasa ingin melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang termasuk untuk anak-anak.

“Apa yang perlu kita optimumkan adalah fitrah kita yang sentiasa bersemangat untuk memupuk nilai positif dan jati diri tinggi kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Kepimpinan Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Dr Mariah turut menggalakkan wanita melebarkan sistem rangkaian (networking) masing-masing dan mengambil langkah proaktif mewujudkan keseimbangan dalam kerjaya dan keluarga.

Katanya, kebanyakan sarjana dalam bidang kepimpinan dan korporat menekankan kepentingan untuk wanita membina rangkaian bagi memudahkan urusan kerja dan menyokong cita-cita mereka.

“Daripada kajian dilakukan, didapati sebahagian besar dalam kalangan profesional wanita tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan rangkaian untuk menyokong aspirasi mereka, walaupun lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia profesionalisme masing-masing.

“Mereka berjumpa, berkenalan, bertukar-tukar nombor perhubungan tetapi selepas itu tiada tindakan lanjut yang dilakukan untuk bersama-sama mengoptimumkan kepakaran dan kemahiran masing-masing,” katanya.


Pengarang :