SELANGOR

Elak tanah terbiar, galak komuniti wujud ‘Kebun Kita’

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 MAC: Masyarakat di kawasan kejiranan masing-masing digalakkan untuk mewujudkan projek ‘Kebun Kita’ terutama di tanah terbiar yang terdapat di sekitar mereka.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, inisiatif ‘Kebun Kita’ adalah idea daripada pihaknya supaya tanah yang terbiar tidak dibiarkan begitu sahaja sehingga menjejaskan pemandangan.

Katanya, beliau percaya projek ‘Kebun Kita’ boleh dilaksanakan sekiranya wujud kerjasama antara individu terutama dalam sesebuah kawasan kejiranan.

“Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan sentiasa cuba membantu membangunkan sesuatu tempat dalam Selangor dengan memberikan cadangan, panduan serta dana.

“Namun, saya percaya projek itu tidak mungkin mampu dilaksanakan sekiranya tiada bantuan dan sokongan daripada komuniti itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jamaliah hadir ke projek pertama ‘Kebun Kita’ di Tapak Kebun Kita, Bandar Utama 12, di sini, semalam.

Program itu turut mendapat kerjasama bersama Pusat Wanita Berdaya (PWB) Bandar Utama dan penduduk kawasan terbabit.

Difahamkan, sepanjang program berlangsung, MBPJ serta beberapa wakil penduduk turut berkongsi ilmu serta pengalaman mereka bagi menjayakan ‘Kebun Kita’ di Bandar Utama 12.

Sementara itu, Jamaliah berkata, beliau optimis tanah terbiar di kawasan lain dapat ditransformasikan supaya lebih menarik seperti Bandar Utama 12.

“Saya berharap kawasan tanah terbiar dapat dibersihkan sekali gus dicantikkan supaya ia menjadi tempat yang lebih bersih, selamat dan sedap mata memandang.

“Oleh itu, saya berharap masyarakat dapat menjadikan ‘Kebun Kita’ di Bandar Utama 12 yang dahulunya terbiar, kini berubah menjadi bersih dan cantik itu sebagai contoh untuk anda bangunkan di kawasan kejiranan masing-masing,” katanya.


Pengarang :