BERITA UTAMASELANGOR

Empat parah kejadian pokok tumbang di Gombak

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Empat orang dilaporkan cedera parah, dua daripadanya dipercayai akibat renjatan elektrik, susulan kejadian pokok tumbang di sebuah rumah kebajikan di Batu 11, Jalan Gombak, di sini hari ini.

Dalam kejadian petang tadi itu, beberapa pokok tumbang dan menghempap Pondok Penyayang Raudhah yang menempatkan kira-kira 30 penghuni susulan hujan lebat lebih satu jam di sekitar ibu negara.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, dua lelaki berusia 30-an yang cuba mengalihkan pokok tumbang dilaporkan terkena renjatan elektrik di lokasi kejadian.

“Dua lagi lelaki parah akibat dihempap pokok manakala empat lagi individu terdiri daripada tiga wanita serta seorang lelaki pula dilaporkan cedera ringan,” katanya kepada Bernama, sambil menambah, penghuni rumah kebajikan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan susulan insiden yang menyebabkan kerosakan 20 peratus di premis berkenaan.

Norazam berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Wangsa Maju bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan. -BERNAMA


Pengarang :