Enam lagi keluarga mangsa tembakan diterbangkan ke Christchurch | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Enam lagi keluarga mangsa tembakan diterbangkan ke Christchurch

SEPANG, 22 MAC: Enam lagi anggota keluarga mangsa insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, diterbangkan ke Auckland, New Zealand malam tadi untuk melawat Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar yang masih dirawat di hospital.

Keluarga kepada Rahimi yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH0131 ke Auckland, New Zealand pada jam 11.10 malam tadi ialah adik perempuan, Nor Nadiah Ahmad, 29, dua ibu saudara Robiah Salleh, 60, dan Azizah Mohmad, 60; serta anak Nor Nadiah Khairil Mikhail Khairil Azrizal, 2 tahun.

Sementara adik dan kakak Nazril, iaitu Rosna Liza, 45, dan Rosmawati, 51, juga mengikuti penerbangan sama.


Turut hadir untuk menghantar mereka ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) Muhammad Bakthiar Wan Chik.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) , Muhammad Bakhtiar yang mengutuk sekeras-kerasnya tragedi itu, mengucapkan terima kasih kepada MAS yang menaja tiket penerbangan Kuala Lumpur- Auckland- New Zealand.

“MAS hanya terbang ke Auckland dan turut menaja penerbangan seterusnya ke Christchurch menaiki New Zealand Air.

“Saya bercakap dengan isteri Rahimi pagi ini dan isterinya memberitahu Rahimi stabil selepas empat pembedahan,” katanya.

Sementara itu, adik Rahimi, Nor Nadiah berkata, abangnya masih berada di hospital dan sudah menjalani pembuangan serpihan satu peluru yang tembus di rusuk kanan badan, melalui pembedahan secara berperingkat.

“Rahimi boleh bercakap dan memberikan respons positif apabila namanya dipanggil oleh ibu dan abang saya. Saya beharap keadaan abang beransur lebih baik selepas ini,” katanya ketika ditemui di KLIA tadi.

Rosna Liza berkata, abangnya Mohd Nazril akan dipindahkan ke wad biasa untuk berehat walaupun keadaannya dilaporkan stabil.

Semalam, Kementerian Luar Negeri mengesahkan Muhammad Haziq, 17, merupakan antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi penembakan di Christchurch, Jumaat lepas.

Laporan media menyebut jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di New Zealand pada 12 tengahari waktu Malaysia.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next