GLOBALNASIONAL

Ethiopian Airlines bawa penumpang dari 35 negara

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Pesawat Ethiopian Airlines bagi penerbangan ET302 yang terhempas berhampiran Addis Ababa, semalam dan mengorbankan kesemua 149 penumpang serta lapan anak kapal, membawa penumpang dari sekurang-kurangnya 35 negara.

Menteri Pengangkutan Kenya, James Macharia berkata yang mengesahkan perkara itu dalam satu sidang akhbar berkata, terdapat 32 penumpang rakyat Kenya, 18 rakyat Kanada, enam dari China dan lima dari Belanda.

Katanya, penumpang lain terdiri daripada enam rakyat Mesir, sembilan dari Ethiopia, tujuh masing-masing dari Perancis dan UK, empat dari India, lapan dari Itali, empat dari Slovakia dan lapan dari Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kewarganegaraan dua lagi penumpang tidak dapat dipastikan.

Pesawat penumpang itu yang terhempas beberapa minit sejurus berlepas, dalam perjalanan ke Nairobi dari Addis Ababa.

Dilaporkan juga beberapa penumpang dalam perjalanan untuk menghadiri satu persidangan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di Nairobi.

Sementara itu, menjawab soalan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Pegawai Komunikasi Alam Sekitar PBB, Shari Nijman berkata, pihaknya amat berdukacita dengan nahas yang menimpa Ethiopian Airlines.

“Kami sedang mengikuti perkembangannya dengan teliti,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan agensi Alam Sekitar PBB itu, semalam.

Katanya, agensi itu sedang berhubung dengan pegawai terbabit bagi mengenal pasti wakil PBB yang mungkin berada dalam pesawat berkenaan. -BERNAMA


Pengarang :