SELANGOR

Etika pemakaian: Tiada sebarang tindakan – Suee Lim

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim, tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan susulan pertikaian etika pemakaian yang menjadi tumpuan sepanjang sesi persidangan kali ini.

Beliau berkata, menjadi satu kesalahan tidak mematuhi peraturan dewan termasuk ketidakpatuhan etika pemakaian oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer dan Sungai Panjang pada sesi sidang terdahulu.

“Bagaimanapun, saya tak ambil tindakan tegas dan beri peluang memandangkan ADN ini masih baharu dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada sesi sidang akan datang.

“Dan kali ini, ADN Bukit Lanjan pula tetapi saya mengambil sikap sama menasihatkan supaya patuh peraturan. Teguran ini bukan niat berdendam atau memalukan sesiapa tapi nasihat ikhlas bagi bersama memelihara kemuliaan dewan,” katanya dalam sidang media di Lobi Bangunan Annex di sini, hari ini.

Minggu lalu, Suee Lim menegur ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong kerana tidak mematuhi etika berpakaian pada sidang DNS.

Katanya, penetapan lebih terperinci terhadap etika pemakaian akan dibuat bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan ADN untuk sesi persidangan akan datang.

Tegasnya, penetapan pemakaian baju ‘lounge suit’ berwarna hitam bagi lelaki dan pakaian kemas atau berbaju kurung dengan blazer berwarna hitam untuk wanita supaya tidak lagi timbul isu salah faham.

“Penetapan lebih terperinci ini penting bagi memastikan ADN mematuhi peraturan tetap dan jika ada yang tidak berpuas hati, boleh usulkan untuk dibahaskan dan perlukan 18 sokongan majoriti.

“Sidang DNS bukannya ‘fesyen show’ dan perlu menghormatinya. Saya juga mahu semua ahli ADN berdisiplin dan menunjukkan contoh tauladan yang baik,” katanya.


Pengarang :