Evolusi langgam bahasa rentasi zaman | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Evolusi langgam bahasa rentasi zaman

Oleh Taji Kuning

 KERANA silap membaca isi surat yang tertulis “salam paduka kekanda” tetapi dibaca sebagai “paduka kakanda empunya sembah, datang kepada paduka adinda”, Raja Pasai iaitu Raja Pahlawan mengamuk sehingga habis dibunuh seisi istana ketika itu.

Padahal si utusan dari tanah Haru telah ditegur beberapa kali oleh Raja Pahlawan sendiri yang mendengar bacaan itu kedengaran tidak sepatutnya.


Lanjutan hal itu membawa kepada peperangan antara Pasai dan Haru sehingga turut memberi kesan kepada Melaka. Tidak dapat dipastikan adakah si utusan benar-benar tersilap baca, tidak cermat baca, ada masalah penglihatan atau memang surat itu dikarang dengan perkataan sebegitu. Cerita itu dimuatkan dalam Sulalatus Salatin pada bab Akibat Salam Dibacakan Sembah.

Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh telah mengalihkan cerita itu kepada bentuk sajak bertajuk Ceritera yang Kedua Puluh Empat dan diterbit dalam buku Sajak-sajak Sejarah Melayu. Tulisnya:

 

Cih, Pasai ini tiada sayang pada bahasa,

pada rasa dan hati yang dikandunginya.

ayat dilengkungkan dengan pembacaan,

makna dipindahkan kepada kehendak.

tiada akan besar bangsa

yang tiada kasihkan bahasanya,

tiada kebenaran pada manusia

yang tidak dapat melihat kenyataan.

 

Cerita ini mengingatkan kita kepada peribahasa “kerana pulut santan binasa/kerana mulut badan binasa” yang begitu popular menggambarkan akibat kesilapan dalam percakapan. Makna baru dari perkataan yang tersilap selalunya mendatangkan fitnah yang lebih besar. Tetapi berapa ramai yang mengambil pengajaran dan cuba mengelak melakukan kesilapan dalam kehidupan seharian?

Silence is Golden kata peribahasa orang putih yang kemudiannya dinyanyikan kumpulan KRU sebagai “diam itu ‘kan pintar”.

Dalam bahasa Melayu juga ada banyak peribahasa,  pepatah dan perumpamaan berkaitan diam seperti “diam-diam ubi berisi” atau seperti “bunyi tin kosong”. Adakah ini semua sebagai respon terhadap kisah amukan Raja Pahlawan? Atau ia sebagai ingatan kepada rakyat bawahan supaya berhati-hati apabila berbahasa dengan golongan atasan?

Tidak dapat dinafikan, bahasa banyak larasnya. Laras bahasa pasar, bahasa rasmi, bahasa persuratan, bahasa istana, bahasa korporat, bahasa akhbar dan entah berapa banyak jenis lagi. Kata sesetengah orang, ini menunjukkan bahasa juga ada kastanya. Adakah ini benar? Mungkin ya mungkin tidak. Langgam, gaya dan loghat sering berevolusi selaras dengan pergerakan zaman dan perkembangan ilmu.

Ada gaya bahasa yang sudah ditinggalkan seperti penggunaan kata ganti nama diri “hamba” dan “tuan hamba” yang mungkin digunakan secara minimal pada sesetengah tempat sahaja. Namun, tetap saja ada jarak antara satu-satu golongan via laras bahasa atas beberapa faktor.

Merenung kembali kisah dari Sulalatus Salatin, di situ boleh kita boleh petik banyak pengajaran. Pertamanya supaya lekas sedar diri dan memperbetulkan keadaan kemudian meminta maaf. Itulah yang sepatutnya dilakukan si utusan. Kedua, cerita itu menunjukkan betapa seorang pemerintah yang biasa hidup dikelilingi sanjungan dan tentunya salah satu bentuk sanjungan adalah melalui laras bahasa yang diguna pakai di dalam istana yang memerlukan orang bawahan mengangkat sembah, merendah diri dan mengikut arahan, telah menyebabkan si Raja Pahlawan tidak langsung dapat bersabar sehingga terheret ke kancah perang.

Kata Azizi Abdullah, pujian adalah racun. Ya, racun yang boleh merosakkan hati dan perasaan seseorang.

Jadi, bagaimana dengan zaman sekarang? Akan berlakunya perang jika tersilap cakap? Lihat ucapan-ucapan Donald John Trump yang celupar akibat dikuasai kemarahan dan sentimen yang sedikit sebanyak menimbulkan reaksi hangat. Dan di sekeliling kita sendiri, lihat kenyataan-kenyataan menteri yang sememangnya menyakitkan hati rakyat seperti “kalau harga ikan naik, beli ayam”, “boleh menoreh di musim tengkujuh” dan bermacam-macam lagi yang tidak enak boleh didengar dalam perbahasan parlimen. Barangkali apabila berada di puncak kuasa kita menjadi kurang cermat dalam melepaskan perkataan. Tetapi, kita tidak boleh kata menteri atau ahli politik saja yang celupar dan kurang ajar dalam bercakap. Masyarakat sendiri, dek letusan maklumat terikut-ikut sama. Komen-komen atau hantaran di laman sosial tidak sedikit yang mencarut dan penuh emosi.

Rentetan isu demi isu yang sentiasa menghangatkan iklim politik kita merebas sama kejelekan-kejelekan masyarakat dalam menanggapinya. Tulisan-tulisan yang menghasut dikongsi dan tular sehingga dengan mudah dipercayai ramai pula. Lebih menyedihkan, ada juga penulis yang menulis puisi dan cerpen penuh dengan sangkaan jahat terhadap kaum yang tidak disukainya akibat tularnya cerita yang tidak benar. Padahal sastera sepatutnya medium pencerahan bukannya alat menyebar kebencian. Sewajarnya masyarakat harus ingat ayat al-Quran surah Al-Hujurat, “Jika datang kepadamu satu berita, maka selidikilah kebenarannya dahulu” agar kita menjadi manusia yang lebih bertamadun dan celik maklumat.

“Tiada akan besar bangsa/yang tiada kasihkan bahasanya,” baris sajak ini patut dihadam sedalam-dalamnya oleh penulis, orang awam atau menteri sekalipun. Ingatan dari sajak sasterawan negara seharusnya dipegang jika kita mahu melihat bangsa kita menjadi besar; besar di sini bukanlah aspek penggunaan bahasa atau kemajuan teknologi sahaja, tetapi nilai-nilai kemanusiaan yang patut membugar lalu melahirkan masyarakat bertamadun. Berbahasalah dengan baik dan berhati-hati. Ingatlah celaan Tuhan terhadap orang yang mencarut, mengumpat dan menyebar pembohongan. Menulislah dengan baik dengan ejaan penuh dan perkataan-perkataan molek kerana karya atau tulisan yang baik sentiasa menyejukkan jiwa. Jangan jadi seperti Raja Pahlawan yang lupa kuasanya cuma sementara. <END>

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

Berita Terdahulu

Jerat Muslihat

Berita Seterusnya

Gadis Penjual Buku

BERITA BERKAITAN

Prev
Next