SELANGOR

Beri ruang komuniti jana pendapatan menerusi kemahiran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 15 MAC: Sudah tiba masa bagi Kerajaan Negeri menggunakan pendekatan ‘engagement’ dengan memberi ruang kepada masyarakat meraih pendapatan sendiri melalui bakat dalam bidang kemahiran.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, penambahbaikan itu membantu mereka kurang cemerlang dalam akademik juga mampu menjana pendapatan.

“Paling penting mereka perlu ada bakat dalam bidang kemahiran, sama ada dalam konteks ‘Food & Baverages (F&B), bidang pembuatan atau apa sahaja bidang yang mereka minati.

“Kita memiliki institusi seperti Giat Mara yang menyediakan ekosistem seperti ini kepada individu yang berminat dan kita berharap ia benar-benar berlaku.

“Sememangnya institusi ini menyediakan medium terbaik iaitu mereka boleh terlibat dalam bidang ini dan akhrinya menjadi ‘job creator’ dengan menawarkan pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan taklimat bersama beberapa pengurusan tertinggi Giat Mara cawangan Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Mengakui setiap individu wajar diberi peluang mengubah kehidupan ke arah lebih baik, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedang memperhalusi usaha mengadakan kempen bagi memastikan tiada individu yang tidak bekerja bagi setiap rumah, di Selangor.

Justeru katanya, masyarakat di negeri itu perlu bijak mencari peluang membangunkan potensi diri dalam bidang keusahawanan, selain peka terhadap program mahupun inisiatif ditawarkan agensi terbabit seperti Giat Mara dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Ada yang gagal dalam bidang akademik, tetapi apabila masuk Giat Mara, terdapat program yang membolehkan mereka masuk ke institusi lebih tinggi untuk kejayaan masa depan.

“Mentaliti kita sebaliknya kena berubah dan fikir bagaimana untuk melahirkan anak-anak serta generasi yang berpotensi membangunkan bidang keusahawanan,” katanya.

 


Pengarang :