SELANGOR

EXCO: ‘Hub Virtual’ berpotensi luas pasaran usahawan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Penyertaan usahawan melalui medium ‘hub virtual’ (dalam talian) dilihat berpotensi meluaskan pasaran lebih pantas dan efektif.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri tidak menumpukan kepada pembangunan promosi di hab perniagaan sedia ada sahaja, malahan menggalakkan lebih ramai usahawan berniaga melalui medium itu.

Menurutnya, ia adalah anjakan medium perniagaan berbentuk statik atau tradisional kepada teknologi terkini.

“Misalnya, Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC) menyediakan ‘Online 100’ untuk usahawan memasarkan dan menjual barangan secara dalam talian, selain menyediakan fasiliti ruang pejabat dilengkapi utiliti seperti rangkaian internet, telefon persendirian serta pentadbir dengan kadar sewa berpatutan.

“Selain itu, PKNS Bizpoint turut menyediakan fasiliti ruang pejabat dilengkapi bilik mesyuarat, telefonis, talian fax, ruang diskusi dan pantri.

“Usahawan mikro yang memerlukan ruang pengurusan tidak perlu menyewa atau membeli ruang pejabat konvensional yang memerlukan kos tinggi,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pada sesi pagi berkaitan inisiatif baharu untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan.

Pada masa sama, Rodziah berkata, beberapa perancangan program lain akan turut dilaksanakan sebagai inisiatif membantu meningkatkan taraf hidup golongan usahawan, di Selangor.

“Kaunseling usahawan dibuat dengan memberikan khidmat nasihat berkaitan keperluan sebenar perniagaan usahawan, selain pangkalan data bersepadu untuk meningkatkan kategori usahawan yang memberi fokus kepada keperluan mereka.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan membangunkan Pusat Sehenti Keusahawanan di beberapa negeri termasuk di Selangor yang terletak di MaGIC, Cyberjaya,” katanya.

 


Pengarang :