Selangorkini
SELANGOR

EXCO seru jadikan Selangor hub e-sukan antarabangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MAC: Aktiviti e-sukan semakin berkembang pantas di seluruh dunia dengan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan generasi muda.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri melihat aktiviti ini sebagai satu aliran perkembangan baru dan mempunyai potensi menjadikan Selangor sebagai hub e-sukan antarabangsa.

“Bagaimanapun, pada masa ini tiada garis panduan khusus untuk aktiviti melesenkan e-sukan menyebabkan ramai pengusaha tidak dapat membuka premis,” katanya pada sesi pagi Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri bakal mengadakan mesyuarat penyelarasan membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan satu garis panduan pelesenan e-sukan di pusat siber dan kafe siber serta permainan digital secara atas talian.

Katanya, ia bagi membantu pengusaha melaksanakan aktiviti perniagaan secara berlesen dan dapat di kawal mengikut syarat-syarat pelesenan.

Mohd Khairuddin berkata, selain itu, e-sukan juga mampu menjana hasil baru melalui pelesenan PBT di Selangor.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan memahami kehendak perniagaan terkini dan dengan wujudnya garis panduan ini diharapkan dapat merancakkan perkembangan e-sukan sebagai salah satu budaya sukan sihat untuk komuniti,” katanya.


Pengarang :