BERITA UTAMASELANGOR

EXCO tempelak Najib isu harga parkir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 MAC: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya menyemak dahulu fakta berhubung isu kenaikan caj parkir kenderaan yang ditimbulkannya, Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) hari ini lebih banyak mewarisi perjanjian yang diwujudkan sejak era Barisan Nasional (BN).

“Najib kononnya mengatakan sebanyak 70,000 lot parkir milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diserahkan kepada syarikat swasta dan rentetan daripada itu, harga caj parkir naik pada 1 April.

“Tetapi saya ingin nasihatkan Najib supaya semak fakta, ini kerana perjanjian dengan syarikat swasta yang disebutkannya ini bertarikh pada 1999, iaitu zaman BN,” katanya menerusi facebooknya.

Pada masa sama, Sze Han berkata, Majlis Perbandaran Kuantan sudah mengenakan kenakan caj 60 sen sejam sejak 2006.

Sementara Majlis Daerah Cameron Highlands baru naik ke 60 sen sejam selepas Pilihan Raya Kecil Cameron.

“Adakah ini salah PAKATAN juga? Najib ada simptom mudah lupa,” katanya.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan kadar caj parkir di kawasan pentadbiran MBSA akan dinaikkan sebanyak 20 sen kepada 60 sen sejam mulai bulan depan.

Bagaimanapun MBSA berkata, caj tempat letak kereta tidak dinaikkan sejak 21 tahun lalu sehingga menjadikannya caj paling rendah berbanding Pihak Berkuasa Tempatan yang bertaraf bandar raya di negara ini.

 


Pengarang :