SELANGORSMART SELANGOR

Ezad Lazim teruja rasai VR simulator Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 18 MAC: Bekas Vokalis kumpulan Exists, Mohd Rohaizad Mohd Lazid atau lebih dikenali sebagai Ezad Lazim cukup teruja apabila berpeluang merasai sendiri simulasi Virtual Reality (VR) Smart Selangor 2025.

Pada Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan di Stadium Sungai Besar, di sini, Ezad, 40, bersama Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Mohd Syazwan Rahimy, mengendalikan slot Alami Smart Selangor berkenaan.

Plantun lagu Jesnita itu berkata, beliau tidak menyangka pelbagai inisiatif di bawah agenda Smart Selangor sudah dan sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau percaya ia mampu direalisasikan di negeri maju itu secara berperingkat, pada masa akan datang.

“Dengan bantuan pelbagai agensi pastinya misi dan visi Smart Selangor serta iltizam yang ditunjukkan Kerajaan Negeri, maka ia akan mampu dicapai.

“Malah, sebagai rakyat di negeri ini, mereka perlu menyokong usaha pihak kerajaan ini dan sama-sama membantu, menjelang 2025,” katanya.

Mengulas pelaksanaan perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor, Ezad berkata, ia perkhidmatan terbaik disediakan memandangkan penduduk turut berpeluang mendapat kemudahan jalur lebar iaitu WiFi percuma.

“Ia membolehkan data atau sesuatu capaian maklumat dilakukan dengan pantas khususnya sesuatu yang sangat untuk pelajar.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan ini bagi tujuan yang tidak baik,” katanya yang menetap, di Sepang.

Penyanyi dan pelakon itu juga berkata, dengan adanya pelaksanaan menggunakan pelbagai teknologi canggih, pastinya lingkungan penduduk yang berusia juga tidak mahu ketinggalan ke arah arus pemodenan itu.

“Walaupun saya sudah berusia lingkungan 40an, namun saya juga tidak mahu ketinggalan. Kita perlu faham apakah yang mahu dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Ini untuk kita sama-sama berdaya saing dan maju bersama serta program pendedahan seperti jelajah ini membuatkan saya bersemangat menghadapi masa hadapan yang berteraskan teknologi,” katanya.

Smart Selangor VR Simulator’ itu adalah usaha MBI Selangor mempamerkan secara holistik pelaksanaan Smart Selangor dengan gaya persembahan yang progresif dan berkesan.

Simulasi itu memberikan pengguna gambaran tentang masa depan Smart Selangor selaras dengan wawasannya menjadi negeri pintar utama di ASEAN, menjelang 2025.

Ia menggambarkan Smart Energi, Pengurusan Sisa Pintar, Mobiliti Pintar serta Pendidikan Pintar, dalam kalangan yang lain.


Pengarang :