GLOBALNASIONAL

FAA: ‘Tiada asas’ gantung khidmat Boeing 737 Max 8

ATLANTA, 14 MAC: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat terus bertegas “tiada asas” untuk melarang penggunaan pesawat model Boeing 737 Max 8 yang terhempas di Ethiopia, baru-baru ini.

Pemangku pentadbir FAA, Daniel K Elwell berkata, semakan pihaknya mendapati tiada masalah prestasi sistematik pesawat model berkenaan, lapor portal CNN.

Sejak nahas 10 Mac lalu, semakin banyak negara termasuk Kesatuan Eropah, China, India dan Malaysia menggantung penggunaan pesawat Boeing yang paling laris itu di negara masing-masing.

Pesawat baru Ethiopian Airlines model Boeing 737 Max 8 terhempas sejurus berlepas dari Addis Ababa dalam penerbangan menuju Nairobi, lalu membunuh kesemua 157 penumpang.

Nahas itu berlaku kira-kira lima bulan selepas tragedi pesawat Lion Air model Boeing 737 Max 8 di laut Jawa yang mengorbankan 189 orang sejurus setelah berlepas dari Jakarta.


Pengarang :