SELANGOR

Faizal Hussein kembali gegar Retromania Grand Gathering 2019

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

IPOH, 29 MAC: Pernah menjadi kegilaan ramai wanita sekitar 1985 melalui filem Gila-Gila Remaja, pelakon Faizal Hussein akan kembali di pentas Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19), pada 13 dan 14 April ini, di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat.

Kehadiran pelakon yang pernah menjayakan watak utama sebagai ‘Azroy’ dalam filem itu seakan menyingkap semula nostalgia nashkah arahan Hussein Abu Hassan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Zain A Hamid berkata, selaku penganjur, pihaknya mendapat kerjasama erat daripada pelakon yang memiliki gaya ‘rambut ekor’ sehingga menjadi ikutan golongan remaja sewaktu filem terbabit ditayangkan.

Katanya, pemilihan Faizal juga bersesuaian dengan tema acara yang memasuki edisi ketujuh iaitu ‘Gila-Gila Remaja’.

“Bagi menjadikan penganjuran kali ini lebih meriah dan sentiasa ada kelainan konsep daripada acara terdahulu, kita akan bersama dengan Faizal dalam program itu nanti.

“Orang ramai yang masih terngiang dengan dialog popular ‘Roy, Roy.. Hati Kau Keras… Selalu Berkorban Untuk Orang Lain’, saya menjemput supaya dapat bersama membanjiri Pantai Morib,” katanya.

Memulakan langkah di pentas lakonan sejak 1982 menerusi filem Senja Merah, nama Faizal melonjak naik selepas membintangi watak utama dalam filem Gila-Gila Remaja.

Antara yang turut membintangi filem itu ialah Rosyam Nor, Rehana Yassin, Hussein Abu Hassan, dan Mahyon Ismail.

Filem terbitan Shah Film Productions itu memaparkan tentang seorang lelaki yang jatuh
cinta pada seorang pelajar baru bernama Suziana (Rehana Yassin) atau lebih mesra dengan panggilan Suzi dalam kalangan teman dan keluarga.

 


Pengarang :