BERITA UTAMASUKANKINI

Farhan, Amy Kwan dinobat Olahragawan dan Olahragawati ASNS 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Atlet sepak takraw, Farhan Adam dan atlet gimrama, Amy Kwan Dict Weng masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2018.

Kemenangan Farhan, 30, menyaksikan beliau melakar sejarah baharu senarai pemenang olahragawan yang memecahkan dominasi sukan olahraga, berbasikal bedminton dan tenpin boling.

Beliau mengatasi tiga lagi finalis iaitu Muhammad Faizul M Nasir (pencak silat), Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Hasnul Azam (tenpin boling) dan Zulhilmie Redzuan (boling padang).

Amy Kwan mengungguli kategori wanita mengatasi pemenang Anugerah Olahragawati 2017 dari sukan tenpin boling, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman serta dua pesaing lain iaitu Zuraini Khalid (boling padang) dan Nor Afikah Nadrah Mohammed Borhan (angkat berat).

Olahragawan dan Olahragawati ASNS 2018 masing-masing menerima trofi dan insentif RM10,000 yang disampaikan Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah serta dipakaikan blazer biru Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN), di Dewan Perdana, Hotel Grand Bluewave.

Atlet olahraga, Muhammad Ilham Suhaimi dan Nessa Yip Yi Wen dari sukan renang masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Harapan yang menyaksikan mereka membawa pulang trofi serta sijil simpanan premium bernilai RM5,000 setiap seorang.

Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan diberikan kepada Pengurus Pasukan Pasukan Hoki Wanita MBPJ Tigers, Norazizah Mukijan manakala Naharudin Mahayudin dari sukan angkat berat dipilih selaku penerima Anugerah Jurulatih Terbaik 2018.

Kedua-dua pemenang membawa pulang trofi berserta insentif bernilai RM5,000.

Pasukan Hoki Sukan Malaysia (SUKMA) Wanita menerima Anugerah Pasukan Terbaik sementara pelumba MotoGP Red Bull KTM Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah pula dipilih sebagai penerima Anugerah Juri.

Seramai 81 Olahragawan dan Olahragawati menerima pelbagai anugerah sepanjang ASNS mula diadakan sejak 1975 hingga 2017.


Pengarang :