NASIONAL

Food Bank manfaatkan lebih 45,000 isi rumah

BUKIT MERTAJAM, 23 MAC: Dalam tempoh lebih dua bulan pelancarannya pada Disember tahun lalu, program Food Bank Malaysia memberi manfaat kepada 45,850 isi rumah di seluruh negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,055 tan metrik lebihan makanan diagih kepada mereka yang berkenaan.

“Program ini merupakan program berterusan dan bukan bersifat ad hoc bagi memberikan manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan termasuk golongan mahasisiwa di pusat pusat pengajian tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program “Food Bank Siswa” di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang (Kampus Permatang Pauh), di sini hari ini.

Katanya, kerajaan komited untuk membantu rakyat dalam kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk pelajar di universiti awam.

Menerusi program Food Bank Siswa itu, Saifuddin berkata, seramai 800 pelajar UiTM Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh dan 200 pelajar Politeknik Seberang Perai layak menerima bantuan daripada Food Bank Malaysia yang akan digerakkan oleh rakan strategik utama iaitu Mutiara Food Bank, menggunakan konsep ‘Food Pantry’ (pantri makanan).

“Persatuan Pengusaha Islam Malaysia telah berbesar hati menjadi penyumbang utama bantuan makanan bagi program Food Bank Malaysia di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain menyumbang sebuah van kepada Mutiara Food Bank bagi melancarkan pelaksanaan program Food Bank Siswa peringkat Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, 11 pengusaha restoran di negeri itu turut bekerjasama dalam program di UiTM Kampus Permatang Pauh berkenaan.

Saifuddin berkata, program akan diperluas ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

Program Food Bank Malaysia di kampus IPTA telah dilancarkan di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.

“Menerusi program berkenaan, kementerian akan membekalkan bahan mentah kepada persatuan pelajar yang bertanggungjawab menyediakan petugas untuk kerja-kerja memasak serta mengagihkan makanan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :