Selangorkini
SELANGOR

Fun Ride 2019 bantu kutipan dana sekolah

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

BATU CAVES, 21 MAC: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Samudra dengan kerjasama Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham menganjurkan Fun Run 2019 pada Ahad ini.

Yang Dipertuanya, Farizah Ramli berkata, acara yang julung kali diadakan itu bertujuan mengutip dana pembangunan dewan terbuka sekolah.

Katanya, idea melaksana program itu tercetus apabila kutipan dana kurang mendapat sambutan, melainkan dengan penganjuran acara.

“Kami melihat pengajuran Fun Run 2019 mengikut keadaan semasa, kerana orang ramai berminat menyertai program kesihatan dan kekeluargaan sekali gus dapat menyumbang kepada sekolah.

“Jadi program ini bakal berlangsung 24 Mac (Ahad) nanti, seawal jam tujuh pagi berkumpul di Padang Awam, Surau Al-Ikhwan Taman Samudra, dan trek larian di sekitar taman perumahan berhampiran,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, semoga program itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak dana dibawa masuk.

Program itu juga mendapat sokongan daripada ahli Majlis Zon 5 Majlis Perbandaran Selayang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Tiga kategori yang dibuka dalam program terbabit adalah kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan dewasa (terbuka).

Yuran penyertaan bagi kategori sekolah rendah dan menengah adalah sama RM20 dan RM30 bagi dewasa (terbuka).

Sumbangan dana itu juga boleh disalurkan kepada Akaun PIBG Sek Keb Taman Samudra Bank Muamalat, No Akaun: 1405-0004577-71-6 atau cek atas nama PIBG Sek Keb Taman Samudra, dan transaksi perlu dinyatakan sebagai ‘Dewan Sekolah’.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Puan Zuhariati Baharun (018-2728175) atau Encik Mohamd Hidir Wahab (019-2721446).


Pengarang :