SELANGOR

Gagal kawal haiwan ternakan, ‘lembu pun boleh shopping’

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 MAC: Tindakan penternak lembu yang sengaja membiarkan haiwan milik mereka berkeliaran menyebabkan masalah itu berlarutan sejak 60 tahun lalu.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, tambah merunsingkan apabila ada yang mendakwa lembu berkeliaran itu dikatakan masuk ke kedai dan ‘bershopping’.

Katanya, kejadian itu berlaku di beberapa lokasi termasuk di Olak Lempit, Banting.

“Hasil maklumat mendapati kira-kira 82 pengusaha membiarkan lembu terbiar dan menceroboh tanah milik persendirian dan tanah milik kerajaan.

“Saya berharap supaya orang ramai bersabar kerana masalah sebegini tidak boleh diselesaikan dalam tempoh setahun sahaja.

“Namun, saya ingin nasihatkan kepada penternak lembu, carilah rezeki yang halal. Lembu yang dibiarkan ini masuk ke tanah milik orang lain sedangkan itu hak orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan dan koperasi sektor pertanian di Wisma PKPS, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Izham berkata, penternak mahupun petani hari ini berdepan cabaran kekurangan tanah,
namun ia tidak boleh dijadikan halangan untuk meraih hasil lumayan.

“Kita perlu buktikan walaupun tanah kecil, namun hasil produk adalah tinggi,” katanya.

Kerajaan Negeri sebelum ini turut memperkasakan Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 (Enakmen Selangor No 3 1971) menyatakan suatu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan atau sebahagiannya adalah kawasan larangan bagi haiwan itu.


Pengarang :