SUKANKINI

Gandingan Aaron-Wooi Yik luar biasa

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman menyifatkan pencapaian gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pada kejohanan badminton All England 2019 adalah luar biasa.

Bercakap kepada Bernama, beliau sendiri terkejut dengan prestasi membanggakan dipamerkan pasangan muda negara itu, yang pada awalnya disasarkan hanya mara ke suku akhir.

“Sungguh luar biasa kerana sasaran awal saya hanyalah suku akhir,” katanya.

Pasangan muda itu adalah beregu lelaki pertama mara ke final All England selepas kali terakhir dilakukan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, pada 2011.

Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung awal pagi ini waktu Malaysia, Aaron-Wooi Yik mengetepikan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 12-21, 22-20 dan 21-19.

Seperti perlawanan suku akhir, gandingan negara terpaksa berhempas-pulas untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila mereka tewas di set pertama.

Bangkit di set kedua, Aaron-Wooi Yik seperti mendapat suntikan tonik daripada jurulatih, mengatur serangan demi serangan untuk mempastikan mereka menguasai set kedua 22-20 sebelum menang di set penentuan 21-19.

“Saya hanya minta mereka tetap tenang dan tukar cara serta strategi permainan mereka,” kata jurulatih yang berasal dari Indonesia itu.

Perlawanan akhir dijadualkan bermula pada 8 malam waktu Malaysia. -BERNAMA


Pengarang :