SELANGOR

Gangguan elektrik, TNB mohon maaf

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 19 MAC: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memohon maaf kepada pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan elektrik di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park, sejak petang semalam.

Pengurus Besar Kanan Distribution Network TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, gangguan itu berpunca daripada kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Serdang Raya pada jam 3.56 petang.

Katanya, pihaknya memahami kesukaran itu dan bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik dengan segera.

“Usaha mengembalikan bekalan dimulakan segera dengan dua pertiga atau 67 peratus pengguna yang terbabit mendapat bekalan dalam tempoh dua jam menerusi bekalan grid, manakala bakinya diberi melalui set janakuasa bergerak.

“Bekalan dipulihkan secara berperingkat bermula jam 5 petang semalam dan sehingga jam 12 tengah hari ini justeru, lebih 85 peratus pengguna mendapat bekalan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, punca kerosakan PMU Serdang Raya disebabkan kerosakan pada peralatan panel pembahagian 33kV dan kerja-kerja pembaikan kerosakan di PMU dijangka siap esok.

Sementara itu, Wan Nazmy berkata, 131 set janakuasa bergerak digunakan untuk mengembalikan bekalan bermula jam 6 petang semalam dan 39 set lagi mengembalikan bekalan sepenuhnya menjelang jam 2 petang tadi.

“Bagi pengguna lain yang terbabit, kami menasihatkan mereka mendapatkan maklumat terkini di Facebook TNB CareLine atau menghubungi talian TNB CareLine 15454,” katanya.

“Kami berterima kasih kepada pengguna atas kesabaran sementara kerja-kerja pemulihan bekalan dan pembaikan PMU Serdang Raya ini berjalan,” katanya.


Pengarang :