SELANGOR

Ganja hemp: Sedut selori pun tak ‘high’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 MAC: Di Malaysia ganja lazimnya dikaitkan dengan aktiviti pengambilan dadah dan pelbagai gejala negatif lain seperti khayal dan sebagainya.

Bagaimanapun, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, tidak semua spesis ganja itu mampu memberi kesan mengkhayalkan.

“Sebenarnya ganja ini tergolong dalam keluarga kanabis dan ianya terbahagi kepada dua, pertama dipanggil spesis betina atau yang dipanggil marijuana dan satu lagi spesis jantan atau yang dipanggil hemp.

“Kedua-dua pokok ini adalah keluarga kanabis dan mempunyai rupa bentuk yang sama tetapi kandungannya amat berbeza sekali di mana hemp ini tidak menyebabkan khayal atau ketagihan sedangkan marijuana pula THC dalam marijuana lebih 25 hingga 35 peratus sedangkan hemp pula 0.3 peratus sahaja.

“Kalau sedut hemp ini satu lori pun tidak akan menyebabkan khayal tetapi masalah rupanya sama dan selain itu isu keselamatan untuk penanamannya pula sangat kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini.

Katanya, penanaman hemp sudah dimulakan sejak kurun ke-18 lagi dan sangat popular di Amerika, India, Thailand dana banyak negara lain.

Katanya, hemp mempunyai banyak kegunaan, antaranya serat boleh dibuat tekstil dan produk automotif.

Sementara itu, ekstrak minyak hemp pula boleh dijadikan bahan untuk rawatan kanser, pharmaseutikal dan kosmetik.

Katanya, mengikut kajian pakar, hemp mampu memberi hasil sebanyak RM16 juta setahun bagi setiap ekar.


Pengarang :