SELANGOR

Gaya hidup dan kurang penghayatan agama punca LGBT

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Gaya hidup dan kurang penghayatan agama antara faktor penularan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim berkata, walaupun pendidikan agama diberikan sejak kecil, namun kencenderungan ke arah golongan itu tetap berlaku kerana pengamalan kehidupan beragama kurang.

Katanya, hal itu menyebabkan mereka terjerumus kerana tidak dapat membezakan antara perkara baik atau tidak.

“Faktor mudah terpengaruh dengan rakan dan sekeliling turut mendedahkan individu kepada golongan LGBT ini.

“Ia selain konflik keluarga menjadi penyumbang seperti masalah dalaman keluarga yang dialami individu menyebabkan mereka mencari keseronokan di luar melalui perhubungan bagi mengantikan ibu bapanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Keibubapaan mengenai LGBT bertajuk Keliru dan Kelabu di Dewan Muzakarah dan Syarahan Islam di Masjid Negeri, semalam.

Haris berkata, masyarakat di negara ini menolak untuk menerima golongan LGBT berkenaan kerana ia tidak selari dengan ajaran Islam.

Katanya, lebih sedih apabila golongan itu merupakan umat Islam dan mendapat tuntutan ilmu yang mendalam tentang Islam.

“LGBT adalah perbuatan mungkar dilaknat dan diharamkan Allah SWT secara terang mahupun tersembunyi.

“Ia juga perbuatan dosa besar dan terkutuk menyalahi hak kemuliaan seseorang manusia, sekali gus menafikan hak berhubungan melalui perkahwinan yang sah,” katanya.

 


Pengarang :