JOHOR BAHRU, 13 Mac — Seorang pelajar yang lemah dibawa menggunakan kerusi roda ketika menerima rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih hari ini dipercayai susulan pencemaran sisa kimia. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Gelombang kedua dan ketiga toksik boleh dielakkan

IPOH, 13 MAC: Gelombang kedua dan ketiga gas metana yang mencemari Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, Johor, boleh dielakkan jika bahan toksik itu dibuang sebaik sahaja dikenal pasti.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, gelombang toksik seterusnya didapati berlaku selepas jabatan bertanggungjawab menyatakan bahawa kualiti udara di kawasan terjejas adalah selamat.

“Pelupusan bahan itu tidak termasuk di bawah skop Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana ia membabitkan pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana.

“Bahan itu sudah dikenal pasti tetapi ia tidak dibuang. Saya faham pelupusannya akan menanggung kos tinggi. Disebabkan kos yang tinggi dan kurangnya inisiatif, maka bahan ini hanya dibiarkan di sana.

“Bagi saya, ini adalah langkah yang salah. Ia sepatutnya dibuang sebelum ia menimbulkan bahaya kepada komuniti berdekatan,” katanya memetik laporan asal New Straits Times.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Bomba dan Penyelamat di Meru, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohammad Hamdan turut memuji langkah Kerajaan Johor menutup sekolah berhampiran kawasan pencemaran itu kerana cuaca panas boleh menyebabkan reaksi kimia yang lebih teruk.

“Saya dari hari ini (Selasa) meminta tindakan yang perlu diambil berhubung radius tertentu kerana kemungkinan reaksi kimia dari cuaca panas.

“Saya percaya bahawa penutupan sekolah dan pemindahan diperlukan untuk memastikan keselamatan semua orang,” katanya.


Pengarang :