NASIONAL

Gembleng tenaga perkasa sistem pendidikan negara

OLEH AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyeru semua pihak mencetuskan idea dan menggembleng tenaga bagi memperkasakan sistem pendidikan negara.

Baginda bertitah, pendidikan berkualiti penting sebagai ejen perubahan bagi merapatkan jurang sosioekonomi dalam masyarakat.

“Sistem pendidikan negara berkualiti penting untuk melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan bersahsiah tinggi seiring dasar ‘industry4wrd’ (industry forward) bagi memacu industri negara supaya lebih berdaya saing dalam era revolusi perindustrian keempat.

“Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global dengan terus memperkasakan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM serta pendidikan teknikal juga latihan vokasional atau TVET,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, di Parlimen di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan akan membangunkan bidang strategik termasuk robotik dan kecerdasan buatan yang mampu menjana kekayaan baharu untuk negara.

Baginda bertitah, kerjasama dengan pihak industri akan digembleng bagi melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.

“Beta berharap kerajaan akan meneruskan program untuk menambah bilangan usahawan, perekacipta serta pencetus inovasi yang mampu mencipta kekayaan baharu.

“Dalam pada itu, perusahaan kecil dan sederhana perlu meningkatkan produktiviti serta menggunakan teknologi terkini dan automasi untuk berganjak kepada rantaian nilai yang lebih tinggi supaya mampu bersaing di peringkat global,” titah baginda.

Pada masa sama, Seri Paduka bertitah, kerajaan akan mereformasi undang-undang buruh bagi memastikan ia mematuhi standard antarabangsa, di samping menambah baik aspek perlindungan ke atas pekerja.

Baginda bertitah, liputan jaringan keselamatan sosial akan diperluas kepada golongan yang bekerja sendiri dan suri rumah bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

“Sesungguhnya pembangunan belia penting untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang dapat membina negara gemilang dan berwibawa.

“Ke arah itu, beta mengalu-alukan pelaksanaan program sekolah pemimpin masa hadapan bagi meningkatkan jati diri dan daya kepimpinan anak muda yang berpotensi,” titah baginda.


Pengarang :